suria

Polis tahan 2 lelaki, rampas dadah bernilai RM25,000

SEREMBAN: Polis menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM25,000 di hadapan sebuah rumah di Taman Blossom, Jalan Tok Ungku, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri Supt V.R. Ravi Chandaran berkata, polis menemui 650 biji pil Erimin 5, 96 biji pil Ecstacy dan dua peket plastik Ketamin selepas memeriksa lelaki pertama yang baru turun dari sebuah kereta di hadapan rumah itu pada kira-kira pukul 6 petang.

Beliau berkata dalam pemeriksaan terhadap lelaki kedua yang memandu kereta itu pula, polis menjumpai 198 biji pil Ecstacy dan satu botol cecair dipercayai ubat batuk.

"Nilai pasaran kesemua dadah yang dirampas itu ialah RM25,000," katanya pada persidangan media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, di sini hari ini.

Ravi berkata siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki lelaki tempatan berusia 37 dan 47 tahun itu dipercayai baru terbabit dalam kegiatan mengedar dadah.

Katanya lelaki pertama akan dituduh mengikut Seksyen 39B dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki kedua dituduh di bawah Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain