suria

Rokok seludup bernilai lebih RM1 juta dirampas

JOHOR BAHARU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Johor merampas 785 kotak rokok bernilai RM1.41 juta dan 68 peti minuman keras bernilai RM16,020 seludup pada Khamis dan semalam.

Pengarah KDRM Johor Mhd Subre Ishak berkata dalam pemeriksaan ke atas sebuah lori di Jalan Lingkaran Dalam, kira-kira pukul 1.45 pagi semalam, 100 kotak rokok bernilai RM180,000 melibatkan cukai RM487,800 dirampas.

Turut dirampas 68 peti minuman keras dan pemandu lori berumur lingkungan 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita, di Menara Kastam, di sini, malam tadi.

Selain itu, katanya 450 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM810,000 melibatkan cukai sejumlah RM2.19 juta dirampas dari sebuah lori dari Singapura dalam pemeriksaan di Wisma Kastam Tanjung Puteri, dua hari lepas.

Beliau berkata bagaimanapun pemandu itu itu gagal ditahan kerana sempat melarikan diri ketika mahu diperiksa pegawai kastam.

Pada hari yang sama, pihaknya turut merampas 235 kotak rokok bernilai RM423,000 melibatkan cukai sejumlah RM1.14 juta dalam sebuah lori di KM166 Lebuhraya Utara Selatan, dekat Tangkak.

"Menyedari lorinya diekori pegawai Kastam, pemandu lori berkenaan terus memberhentikan kenderaannya lalu melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit di tepi lebuh raya itu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain