suria

DUN Manek Urai: Fauzi wakili PAS

CALON... Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (kiri) mengumumkan calon PAS yang akan bertanding pada pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Mohd. Fauzi Abdullah (kanan) di Manek Urai, Kuala Krai malam tadi.

KUALA KRAI: PAS mengumumkan Mohd. Fauzi Abdullah sebagai calonnya bertanding bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan bulan depan.

Fauzi, 50, yang merupakan pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai, juga adalah Bendahari PAS kawasan Kuala Krai.

Pengumuman itu dibuat oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kg. Manek Urai Lama, Manek Urai dekat sini sebentar tadi.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga hadir.

Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai diadakan selepas penyandangnya, Ismail Yaakob dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu akibat pelbagai komplikasi.

Pada pilihan raya umum 2008, Ismail menewaskan calon BN, Zulkepli Omar dengan majoriti 1,352 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil kawasan tersebut akan diadakan pada 14 Julai manakala penamaan calon 6 Julai.

BN akan mengumumkan calonnya esok.

Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, pemilihan Fauzi yang juga Anggota Majlis Daerah Kuala Krai itu dibuat berdasarkan komitmen yang ditunjukkan anak tempatan itu terhadap parti.

Pada sidang akhbar sejurus selepas pengumuman dibuat, Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Manik Urai, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pemilihan Fauzi dibuat peringkat akar umbi dan mendapat sokongan daripada pimpinan tertinggi PAS negeri dan Pusat.

"Pemilihan beliau berdasarkan cadangan tiga nama yang dibuat PAS cawangan Manik Urai.

"Daripada tiga nama yang diserah setiap cawangan, beliau mendapat pencalonan paling tinggi. Ia bukan keputusan sebulat suara, tetapi beliaulah yang mendapat pencalonan tertinggi," kata beliau dipetik Bernama.

Fauzi yang terkejut dengan pemilihannya itu, hanya bersedia menemui pemberita hari ini.

Artikel Lain