7 suspek samun lori bermuatan RM1 juta tembaga ditahan - Semasa | mStar

7 suspek samun lori bermuatan RM1 juta tembaga ditahan

SHAH ALAM: Tujuh lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes samun membabitkan tiga lori kontena bermuatan kepingan tembaga bernilai kira-kira RM1 juta dari sebuah gudang di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang dekat sini, awal pagi ini.

Dengan penahanan tujuh lelaki berusia 21 hingga 35 tahun berhampiran kawasan kejadian hari ini, polis percaya berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang 12 jam.

Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata kejadian samun itu dilapor berlaku pada kira-kira pukul 3 pagi di Kawasan 20, Lebuh Hishamuddin, Pelabuhan Utara membabitkan tiga kontena bermuatan kepingan tembaga yang baru sampai dari Johor pada pukul 10 malam tadi.

"Ketika kami sampai, empat lelaki sedang mengikat dua pengawal keselamatan dan hasil tindakan pantas polis itu berjaya menahan keempatempat lelaki terbabit, manakala dua lagi ditangkap tidak jauh dari tempat kejadian," katanya.

"Seorang lagi lelaki ditahan tengah hari ini di sekitar Pelabuhan Klang. Lelaki itu ialah seorang daripada pemandu kontena terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Khalid berkata dalam kejadian itu, kedua-dua pengawal keselamatan dipukul dengan teruk menggunakan parang dan beberapa suspek juga sempat melarikan tiga kepala lori dan tiga kontena dengan muatan itu.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati kesemua suspek yang berasal dari Klang, Kuala Selangor dan Pahang itu mempunyai banyak rekod kesalahan lampau seperti samun, bergaduh dan mendatangkan kecederaan.

Polis turut merampas dua buah kereta di tempat kejadian dan beberapa bilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu, katanya.

Beliau berkata dua kepala lori tanpa muatan ditemui berhampiran tol di Puchong dekat sini dan pihaknya kini sedang mengesan tiga kontena dan sebuah lagi kepala lori yang dilarikan itu.

"Kami menyeru orang ramai kalau ternampak kontena yang dalam keadaan mencurigakan atau ditinggalkan supaya menghubungi polis segera," katanya.

Khalid berkata berdasarkan siasatan awal juga, polis mengesyaki lelaki terbabit adalah kumpulan yang sama yang melakukan samun di beberapa premis di sekitar Puchong, Selasa lepas.

Dalam kejadian antara pukul 5.30 dan 6.30 pagi itu, tujuh lelaki menyamun 11 individu di beberapa lokasi sekitar Puchong membabitkan jumlah lebih RM9,000 berupa wang tunai dan barangan berharga lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain