suria

Polis tahan pemandu lori bantu siasatan kes bunuh isteri

IPOH: Polis semalam menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun, yang merupakan suami kepada seorang wanita yang ditemui mati di sebuah rumah di Taman Kamunting Maju, Kamunting, Taiping bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu.

Ketua Polis Daerah Taiping ACP Raja Musa Raja Razak berkata lelaki itu ditahan di Hospital Taiping selepas suspek menerima rawatan akibat kecederaan dalam kejadian tersebut.

Lelaki itu ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya ketika dihubungi hari ini.

Raja Musa berkata sepasukan polis yang dikejarkan ke rumah berkenaan selepas menerima panggilan kirakira pukul 9 malam Sabtu lepas, mendapati mangsa, M. Kanamah, 35, tertiarap di atas lantai dengan berlumuran darah dan dipercayai dibunuh.

Polis turut menemui suami mangsa berusia 37 tahun dengan luka di lengan dan menghantarnya ke Hospital Taiping untuk pemeriksaan dan rawatan.

"Suami mangsa ditahan selepas mendapatkan rawatan di hospital berkenaan iaitu tiga jam kemudian," katanya.

Beliau berkata siasatan awal polis menemui sebilah pisau yang disyaki digunakan dalam kejadian berkenaan.

Semasa kejadian hanya pasangan itu berada di rumah, manakala anak lelaki mereka berusia dua tahun mengikut neneknya ke Ipoh, katanya. BERNAMA

Artikel Lain