suria

Biro Pengaduan awam telah berubah jadi mekanisme berkesan - Murugiah

PUTRAJAYA: Biro Pengaduan Awam (BPA) telah berubah menjadi satu mekanisme yang berkesan untuk mencari penyelesaian segera terhadap rungutan orang ramai mengenai sistem penyampaian kerajaan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah.

Perubahan yang mula dilakukan tahun lepas telah berhasil kerana lebih banyak aduan dapat dikendalikan dengan segera dan dalam kes di mana ia perlu dikaji, hanya mengambil masa tidak lebih lima hari bekerja untuk diselesaikan.

Sesi bertemu dengan orang ramai setiap minggu untuk mendengar permasalahan kini semakin popular kerana katakata tersebar bahawa penyelesaian boleh diperoleh dengan segera pada sesi ini.

Kebanyakan aduan yang diterima berkaitan kelewatan, kelakuan buruk pegawai awam dan pelaksanaan dasar dan undang-undang yang kurang memuaskan, perkhidmatan yang tidak memuaskan, kegagalan dalam penguatkuasaan, kurang kemudahan awam dan salahguna kuasa, katanya memberitahu Bernama pada temubual di sini.

Beliau berkata bagi kumpulan muda dan mereka yang celik komputer, BPA juga mengubah suai laman webnya untuk menjadikannya lebih mesra pengguna dan mempunyai banyak maklumat mengenai perkhidmatan kerajaan, tambah beliau.

Murugiah berkata usaha sedang dijalankan untuk mengadakan klinik aduan awam di kawasan luar bandar dan di semua daerah di seluruh negara.

Beliau memberitahu bahawa perancangan sedang dilaksanakan untuk mendapatkan pasukan bergerak untuk menjelajah ke seluruh negara dalam masa tiga tahun akan datang.

Pasukan ini katanya akan termasuk wakil daripada pelbagai jabatan dan agensi agar penyelesaian boleh didapati pada masa itu juga.

"Kita akan menggunakan usaha pelbagai yang boleh menyediakan perkhidmatan terus kepada orang ramai dan meningkatkan lagi sistem penyampaian," tambah beliau.

"Tujuan kita ialah untuk kita menjadikan orang ramai agar jangan ada budaya takut dan benci kepada penjawat awam dan menyemaikannya dengan sikap menghormati dan agar mereka tidak menghadapi masalah ketika berurusan dengan jabatan kerajaan," kata Murugiah. Beliau mengakui bahawa tanggungjawab itu mencabar kerana ia memerlukan satu pertukaran paradigma dalam pemikiran kedua-dua orang awam dan kakitangan awam.

"Ia juga memerlukan sokongan penuh dan persefahaman mengenai keseluruhan perkhidmatan awam dari semua peringkat.

Murugiah berkata BPA juga berusaha ke arah memberikan bahan dan makna kepada wawasan Perdana Menteri "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan."

"Ia adalah tugas suci untuk membanteras persepsi orang ramai bahawa wawasan Perdana Menteri hanya sebagai semua cakapcakap dan tidak ada tindakan," kata beliau.

"Kita akan dengar dan kaji semua aduan walau apa pun bagi memastikan diberikan pendengaran yang adil dan menghindarkan prasangka waswas mereka," katanya. BERNAMA

Artikel Lain