suria

DUN Penanti: Hanya 46% undi, paling rendah di Semenanjung

Tinjauan fotoBERNAMA pada pukul 10 pagi tadi mendapati tiada seorang pun yang mengundi dan hanya seorang anggota polis mengawal salah satu saluran undi di Pusat Pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jit Sin Berapit hari ini. -- fotoBERNAMA
Tinjauan fotoBERNAMA pada pukul 10 pagi tadi mendapati tiada seorang pun yang mengundi dan hanya seorang anggota polis mengawal salah satu saluran undi di Pusat Pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jit Sin Berapit hari ini. -- fotoBERNAMA
Tinjauan fotoBERNAMA pada pukul 10 pagi tadi mendapati tiada seorang pun yang mengundi dan hanya seorang anggota polis mengawal salah satu saluran undi di Pusat Pengundian di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Jit Sin Berapit hari ini. -- fotoBERNAMA

BUKIT MERTAJAM: Hanya 46 peratus pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri Penanti keluar mengundi pada pilihan raya kecil diadakan hari ini berbanding 82 peratus Mac 2008.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof yang kecewa dengan perkembangan tersebut menyifatkan jumlah itu sebagai "paling rendah dalam sejarah pilihan raya" di Semenanjung.

Paling rendah iaitu 15.3 peratus dicatatkan di Sarawak pada 2006.

Seramai 7,100 pengundi keluar untuk menunaikan tanggungjawab setakat 5 petang tadi apabila proses pengundian ditutup. Proses pengundian bermula 8 pagi tadi.

Sehingga 2 petang tadi seramai 5,964 orang telah mengundi.

Paras itu jauh lebih rendah berbanding 82.1 peratus yang direkodkan pada 8 Mac 2008.

Ketika pilihan raya umum 2008, seramai 12,667 daripada 15,421 keluar mengundi.

Calon PKR ketika itu, Mohammad Fairus Khairuddin menerima 7,346 undi manakala calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid memperoleh 5,127 undi.

Majoriti diperoleh Fairus ialah 2,219 undi.

BERITA TERDAHULU

BUKIT MERTAJAM: Hanya 38 peratus pengundi di bahagian Dewan Undangan Negeri Penanti keluar mengundi dalam tempoh enam jam pertama sejak pengundian dibuka 8 pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata, setakat pukul 2 petang tadi seramai 5,964 orang telah mengundi.

Pengundian akan ditutup 5 petang ini.

BERITA TERDAHULU

Penanti: Pengundian berlangsung, 'dingin'

BUKIT MERTAJAM: Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti berlangsung dengan tenang dan lancar walaupun bilangan yang keluar mengundi dalam tempoh empat jam pertama agak 'dingin'.

Sehingga pukul 10 pagi tadi hanya 14 peratus pemilih telah keluar mengundi.

Paras itu meningkat kepada 29.86 peratus atau seramai 4,593 orang menjelang 12 tengah hari tadi.

Tinjauan mStar Online mendapati pusat-pusat mengundi terus dikunjungi pengundi tetapi bilangan mereka tidak 'memberangsangkan' berbanding ketika pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh Ogos lalu.

Kawasan peti undi yang kecil bilangan pengundi peratusan keluar mengundi sangat rendah, malah boleh dikatakan lengang.

Penanti terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh.

Terdahulu, pusat-pusat mengundi pada hari penentuan ini dibuka pada pukul 8 pagi tadi.

Proses pengundian akan berlangsung sehingga 5 petang manakala keputusan dijangka dikeluarkan menjelang 8.30 malam.

Suruhanjaya Pilihan Raya menyediakan sembilan buah pusat mengundi dengan 32 saluran.

Pusat-pusat mengundi itu ialah SMK Guar Perahu (empat saluran), SK Guar Perahu (lima), Dewan Orang Ramai Kampung Tun Sardon, Ara Kuda (satu), SK Mengkuang (empat), SJK (C) Perkampungan Sungai Lembu (satu), SMK Mengkuang (tiga).

SMK Penanti (tiga saluran), SK Tanah Liat (lapan) dan SRJK(C) Jit Sin (A) Jalan Berapit mempunyai tiga saluran.

Bernama melaporkan keadaan cuaca cerah di sebelah pagi membolehkan orang ramai keluar beramai-ramai bagi menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat kawasan itu.

Jabatan Meteorologi meramalkan hujan curahan berlaku pada sebelah petang manakala pada malam cuaca adalah baik.

Pilihan raya kecil DUN Penanti menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 59; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; Pengurus syarikat, Nai Khan Ari, 41 dan pakar motivasi, Kamarul Ramizu Idris, 42.

Bagaimanapun Barisan Nasional tidak meletakkan calon dalam pilihan raya kecil ini - yang keenam sejak pilihan raya umum ke-12 Mac 2008.

Daripada kesemua calon yang bertanding, hanya Nai Khan merupakan pengundi dalam DUN Penanti.

Anak jati Penanti berketurunan Siam itu membuang undi di pusat pengundian di Dewan KAFA Kampung Tun Sardon.

Proses penjumlahan undi akan diadakan di Dewan Besar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan pilihan raya kecil DUN Penanti akan diketahui selewat-lewatnya pukul 8.30 malam ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti 16 April lalu.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid. Majoriti diperoleh beliau ialah 2,219 undi. Terdapat 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

Artikel Lain