suria

Pemilik kilang didapati bersalah lindungi pendatang tanpa izin

KUALA KRAI: Seorang pemilik kilang kayu getah didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan melindungi pendatang asing tanpa izin, empat tahun lalu.

Yee Fook Shin, pemilik Delta Saga Sdn Bhd yang beroperasi di Kampung Mempelam, Jelawang, Kuala Balah, Jeli didapati melindungi empat warga Indonesia dan empat warga Thailand di kilang itu pada 2.45 petang, 17 Mei 2005.

Yee, 58, didakwa mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 55) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM400,000, penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak lebih enam sebatan.

Majistret Mohd Firdaus Ramlan menetapkan 18 Mei ini untuk jatuh hukum dan membenarkan Yee diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zaidi Che Morad manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Abdul Aziz Derashid. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain