suria

Kes dera di sekolah asrama penuh di Raub

KUANTAN: Sembilan pelajar dari sebuah sekolah menengah berasrama penuh dekat Raub ditahan selepas dipercayai mendera tiga pelajar lain antaranya dengan menggunakan seterika panas akhir bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, ACP T. Narenasagaran berkata sembilan pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 16 tahun itu dipercayai mendera tiga pelajar junior berusia 13 tahun pada 29 Mac lalu.

"Pelajar junior dipercayai telah didera melakukan perkara di luar tanggungjawab seorang pelajar seperti menyiram pokok bunga di kawasan asrama.

"Kita percaya pelajar senior juga telah meletakkan seterika panas ke atas salah seorang daripada mangsa berdasarkan tanda yang terdapat di atas lengan mangsa," katanya kepada pemberita.

Katanya polis menerima laporan mengenai kejadian itu Khamis lepas dan bertindak menahan kesemua pelajar terbabit untuk siasatan lanjut. Dalam kes berasingan, seorang lelaki putus kaki kanan selepas diserang lima lelaki bersenjatakan sebilah parang dan gergaji di sebuah kedai makan di Jalan Rimba dekat Mentakab, Sabtu lepas.

Narenasagaran berkata, dalam kejadian 3 pagi itu, mangsa berumur dalam lingkungan 30an pergi ke kedai tersebut bersama tiga lagi rakannya untuk menjamu selera.

"Sedang asyik menjamu selera, tibatiba mangsa diserang oleh lima lelaki dan salah seorang daripada mereka menetak lutut kanan mangsa sehingga putus sebelum melarikan diri," katanya.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Mentakab untuk rawatan manakala tiga rakan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, polis percaya kejadian tersebut berpunca daripada perasaan dendam.BERNAMA

Artikel Lain