suria

Ali Rustam sahkan sudah urus rayuan

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata beliau telah menguruskan urusan rayuannya berikutan keputusan Lembaga Disiplin semalam yang melucutkan kelayakannya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan.

Katanya beliau telah meminta setiausahanya menguruskan perkara tersebut tengahari tadi.

"Saya dah serahkan kepada setiausaha saya untuk uruskan," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pengurusan Umno di Parlimen hari ini.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pagi tadi, Mohd Ali dalam satu sidang media di Melaka berkata beliau akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan Lembaga Disiplin Umno semalam yang melucutkan kelayakannya bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti minggu depan.

Beliau yang menafikan melakukan apa-apa kesalahan bagaimanapun menerima keputusan itu.

Lembaga Disiplin dalam satu sidang media semalam mengumumkan Mohd Ali didapati bersalah mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan minggu depan.

Ditanya sama ada isu rayuannya dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, Mohd Ali enggan mengulas lanjut dan sebaliknya menegaskan perbincangan tersebut memfokuskan mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan parti.

"Kita bincang hal pengurusan, banyak kita bincang yang sulit... hal-hal parti tiap-tiap minggu kita bincang.

"Hal biasa tentang parti...berhubung usul-usul dan persediaan mesyuarat agung," katanya.

Ditanya sama ada beliau telah berjumpa dengan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung rayuan itu, beliau menafikannya kerana katanya, Abdullah menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja di Istana Negara, pagi tadi.

Beliau juga enggan mengulas sebarang pertanyaan berhubung tindakan yang dijatuhkan ke atasnya semalam kerana katanya, beliau sudah pun membuat kenyataan berhubung hal itu pagi tadi.

Ditanya perkara yang akan dilakukannya sementara menunggu keputusan rayuan, Mohd Ali berkata, beliau akan melakukan tugasnya seperti biasa sebagai Menteri Besar termasuk melakukan urusan-urusan kerajaan.

Ditanya sama ada beliau akan hadir dalam Perhimpunan Agung Umno minggu depan, Mohd Ali berkata: "Insya Allah akan hadir."

Berhubung sama ada beliau akan menghadiri sesi pengenalan bersama calon-calon pemilihan Umno di Seremban pada petang ini, beliau berkata: "Mana ada. Saya dah tak layak."

Artikel Lain