suria

Guan Eng timbang larang NST hadiri sidang akhbarnya

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempertimbang tindakan melarang akhbar New Straits Times (NST) daripada membuat liputan sidang akhbar atau majlis yang dihadirinya sebagai tindak balas terhadap artikel akhbar itu yang 'berbaur fitnah dan tidak benar'.

Katanya, tindakan itu hanya ditujukan kepada NST dan tidak melibatkan keseluruhan Kumpulan NSTP dan ini bermakna akhbar Berita Harian dan Harian Metro masih boleh menghadiri program beliau.

Menurutnya, beliau bersedia menerima kritikan tetapi bukan kenyataan yang mempunyai unsur fitnah serta agenda tertentu yang bermaksud mahu memburukburukkan dirinya serta kerajaan negeri pimpinannya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat Taman Masyarakat Relau di sini hari ini, katanya, ini bukan kali pertama beliau dikritik oleh NST dan menegaskan bahawa beliau dan kerajaan negeri masih boleh hidup tanpa akhbar itu.

"Dalam pilihan raya lepas mereka tulis memburuk-burukkan kami, kami sedia hadapinya. Dengan atau tanpa NST kami sentiasa survive. Kami menggesa rakyat Pulau Pinang, jika mereka ingin membaca hal benar mengenai Pulau Pinang, jangan beli NST," katanya.

Lim mengulas laporan akhbar berbahasa Inggeris itu yang mengkritik Ketua Menteri kerana bertindak meminggirkan media tertentu.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri tidak akan tunduk kepada tekanan NST dan akhbar itu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan kepimpinan negeri ketika ini.

"Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan tunduk kepada NST tetapi hanya akur kepada rakyat. NST mesti menyesuaikan diri dengan keadaan baru, mereka tidak boleh paksa kerajaan negeri ikut telunjuk mereka. Bukan macam dulu," katanya.

Beliau juga mendakwa NST gagal menunjukkan senarai tertentu untuk membuktikan fitnahnya terhadap beliau walaupun telah berjanji berbuat demikian.

Lim berkata, beliau sedar akhbar itu mempunyai agenda tertentu kerana ia dimiliki oleh sebuah parti politik dan membidas kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Azhar Ibrahim yang mendakwa Lim memperalatkan media untuk kepentingan diri dan partinya.

Katanya, Azhar tidak layak untuk berkata demikian kepadanya kerana NST itu dimiliki oleh Umno dan sudah pasti beliau akan mempertahankan akhbar berkenaan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain