suria

Mahkamah tolak rayuan Utahayakumar

PUTRAJAYA: Rayuan pemimpin pertubuhan tidak didaftarkan Hindraf, P. Uthayakumar dalam permohonan habeas corpus kedua bagi pembebasannya daripada tahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini atas alasan teknikal.

Panel hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman, Datuk S.Augustine Paul dan Datuk Hashim Yusoff sebulat suara menolak rayuan itu selepas Uthayakumar gagal memenuhi ketetapan Seksyen 95 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan daripada mahkamah.

Mereka juga menolak permohonannya bagi pelanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

Uthayakumar, 47, yang menghidap diabetes, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan habeas corpus keduanya bagi pembebasan atas alasan kecuaian perubatan.

Pada 17 September tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Suraya Othman memutuskan dakwaan Uthayakumar yang dirinya dinafikan daripada mendapatkan rawatan, perubatan dan diet sewajarnya oleh Hospital Taiping dan pegawai kem tahanan Kamunting adalah tidak benar dan tanpa merit.

Di luar mahkamah, seorang daripada peguam bela Uthayakumar, N.Surendran, berkata beliau akan menimbangkan mengemukakan permohonan habeas corpus baru berikutan keputusan hari ini.

Uthayakumar dan empat lagi pemimpin Hindraf para peguam R.Kengadharan, 42, M. Manoharan, 48, V. Ganabatirau, 36, dan koordinator Hindraf K. Vasantha Kumar, 36 memfailkan permohonan pertama mereka pada 26 Disember tahun lalu selepas mereka ditahan. Permohonan mereka itu kemudiannya ditolak Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Abdul Wahab Mohamad memaklumkan mahkamah mengenai ketiadaan petisyen rayuan itu.

Katanya Seksyen 95 menetapkan petisyen rayuan perlu difailkan mengikut ketetapan itu tetapi peguam bela Uthayakumar, S.Y.Chew berhujah bagi kes habeas corpus, yang dibawa terus kepada Mahkamah Persekutuan tanpa perlu melalui Mahkamah Rayuan, dikecualikan daripada prosedur itu.

Wujud lakuna (lompang) dalam seksyen Peraturanperaturan Mahkamah Persekutuan itu, katanya dan menurutnya seksyen itu hanya terpakai dalam kes jenayah yang dibawa dari Mahkamah Rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada peringkat itu, Hakim Paul mempersoalkan Chew bagi kegagalan memfailkan petisyen itu, berkata:

"Anda telah lakukan semuanya dan akhirnya kecundang di Mahkamah Persekutuan".

Katanya beliau tidak pernah melihat adanya kes habeas corpus dipohon tanpa petisyen difailkan. Korum itu kemudiannya memutuskan Seksyen 95 terpakai dalam kes Uthayakumar dan memerintahkan Chew mengemukakan hujah mengenai isu pelanjutan masa bagi memfailkan dokumen itu.

Chew berhujah mahkamah patut memberikan lanjutan masa untuk beliau memfailkan dokumen itu kerana perkara itu amat penting, membabitkan kebebasan diri seseorang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Beliau meminta mahkamah bertolak ansur dengan memberikan masa kepadanya untuk memfailkan petisyen itu, menyatakan Uthayakumar menderita akibat tidak mendapat rawatan sempurna dan tidak diberikan diet sebagai pesakit diabetes semasa dalam tahanan. BERNAMA

Artikel Lain