suria

Anak pemandu bekas MB Perak lemas di tasik

IPOH: Anak pemandu bekas menteri besar Perak ditemui lemas di Tasik Temoh, Tapah, kirakira 65km dari sini, semalam. Mayat Mohd Fadli Othman, 27, ditemui di dasar tasik berkenaan pada pukul 10.35 malam oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supt Roslan Bek Ahmad berkata, kejadian dilapor berlaku pada kira-kira pukul 6 petang ketika Mohd Fadli bersama keluarga termasuk bapanya berehat di tasik berkenaan.

Mohd Fadli, yang bermain bot kawalan jauh bersendirian dikatakan lemas ketika cuba mengambil bot mainan itu yang rosak di tengah tasik, katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mayat Mohd Fadli dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Mohd. Fadli bekerja sebagai pelayan pejabat di Pejabat Daerah Tapah manakala bapanya ialah pemandu bekas menteri besar Datuk Mohammad Nizar Jamaluddin. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain