suria

Seorang lagi pelajar lemas di Pantai Cherating

KUANTAN: Seorang lagi pelajar sekolah lemas ketika mandi bersama sepupunya di pantai Cherating kira-kira pukul 11.20 pagi ini, kata Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Jasmani Mohd Yusoff.

Katanya mangsa, Mohamad Izzat Mohd Syukor, 11, dari Batu Kikir, Bahau, Negeri Sembilan sedang bercuti bersama keluarga dan saudaranya di Cherating.

Jasmani berkata ketika kejadian mangsa dipercayai sedang mandi bersama sepupunya Mohd Norazammudin Sufardi, 13.

"Mangsa dan sepupunya menjerit meminta tolong berikutan lemas ditarik ombak sebelum abang sepupu mangsa, Mohd Arif, 16, bergegas menyelamatkan adiknya Mohd Norazammudin yang berada lebih dekat.

"Mohamad Izzat sudah dihanyutkan sedikit jauh bagaimanapun orang ramai yang berada di sekitar pantai berjaya menyelamatkannya sebelum dia segera dikejarkan ke Hospital Kemaman," kata Jasmani di sini, hari ini.

Beliau berkata Mohamad Izzat, murid Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah, bagaimanapun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kemaman.

Jasmani meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika mandi di pantai Cherating berikutan tiga kejadian meragut nyawa telah berlaku sejak semalam.

Dalam kejadian pertama semalam, Mohd Hafiz Abdul Aziz, 14, pelajar Sekolah Menengah Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur lemas ketika mandi bersama dua adiknya.

Sementara itu dalam kejadian kedua, mayat pemuda yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Cherating semalam, Juazer Rizal Shalehudin, 22, ditemui di pantai berhampiran hotel Holliday Villa di sini pada 7.50 pagi ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain