suria

Tindakan keluar Dewan lari daripada tanggungjawab

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menyelar tindakan anggota Parlimen pambangkang keluar daripada persidangan Dewan Rakyat semalam, menyifatkan tindakan itu sebagai "lari daripada tanggungjawab."

Katanya, jika mereka tidak berbuat demikian, persidangan dapat membincangkan butiran pakej rangsangan yang dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa perlu ditangguhkan pagi ini untuk menyelesaikan kekeliruan yang timbul.

Persidangan Dewan Rakyat ditangguhkan selama 45 minit hari ini untuk meredakan kekecohan selepas beberapa anggota pembangkang mengemukakan soalan mendakwa keliru berhubung sama ada Bajet 2009 yang dibentangkan pada 29 Ogos atau pakej rangsangan RM7 bilion yang diperkenalkan semalam yang diluluskan untuk bacaan kedua.

"Rang Undang-undang Perbekalan adalah rang undangundang yang amat penting. Rang Undang-undang ini memperincikan butiran cadangan bajet bagi tahun 2009," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Ditanya mengenai tindakan keluar Dewan itu, yang bukannya pertama kali melibatkan anggota pembangkang, Abdullah berkata, tindakan itu dilihat seolah-olah telah dirancang.

"Dan kalau pembangkang tidak keluar, maka mereka tentu berkesempatan mengemukakan soalan-soalan mengenai bagaimanakah RM7 bilion yang memang sudah ada dalam bajet itu digunakan," katanya.

Perdana Menteri juga menyelar tindakan pembangkang yang mengganggu sesi penggulungan semalam di mana ramai yang bangun untuk memohon penjelasan dan membangkitkan soal peraturan mesyuarat walaupun Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah memberi arahan supaya berhenti berbuat demikian.

"Saya pun hairan. Ini nampak macam seolah-olah satu strategi. Mungkin mereka tidak suka dengar apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk membantu rakyat, maka berlakulah apa yang telah berlaku semalam," katanya.

Mengenai pembangkang yang menyifatkan Najib sebagai angkuh apabila tidak memberikan laluan kepada pembangkang untuk mengemukakan soalan pada sesi penggulungan semalam, Abdullah berkata: "Apa yang hendak dia (Najib) lakukan, nak baca cepat-cepat apa rancangan dan langkah-langkah yang disenaraikan."

Ditanya sama ada Rang Undang-undang Perbekalan 2009 perlu dipinda seperti desakan pembangkang, Abdullah berkata tidak perlu berbuat demikian. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain