MALANG nasib seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan apabila dipercayai dibunuh oleh ibunya sendiri sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan menyayat hati.Menurut Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Sumedang, Tanwin Nopiansah, hasil lakonan semula kejadian mendedahkan bayi berkenaan dipercayai masih bernyawa ketika dilahirkan. Susulan itu, suspek berusia 19 tahun dibawa ke lokasi pembunuhan pada Isnin lalu untuk melakonkan semula sebanyak 32 babak berkaitan kes tersebut bagi mencari beberapa petunjuk baharu kes berkenaan.Kejadian itu dilaporkan berlaku di Dusun Sukaluyu, Conggeang, Sumedang, Indonesia, dengan mayat bayi berkenaan ditemukan pada 29 Ogos lalu.Siasatan mendapati bayi itu mengalami lima kesan tikaman pada bahagian punggung dan empat lagi pada bahagian hadapan badan.Selain itu, bahagian anggota badan bayi yang sebelum ini dipercayai hilang akibat dimakan anjing peliharaan penduduk rupa-rupanya telah terpisah daripada tubuh mangsa.Hasil siasatan lanjut mendapati anggota badan berkenaan terpisah akibat kesan disiat menggunakan objek tajam.Selepas kejadian, suspek dipercayai menanam mayat bayinya di kawasan kebun kosong di sebelah rumah menggunakan sudip yang digunakan untuk kerja-kerja simen.Mayat bayi itu bagaimanapun ditemukan selepas seorang penduduk melihat anjing peliharaannya membawa sesuatu yang pada awalnya disangka bangkai anak kambing.Polis masih menjalankan siasatan lanjut, termasuk usaha mengesan bahagian anggota tubuh bayi yang masih belum ditemukan.Suspek kini ditahan dan berdepan hukuman penjara sehingga sembilan tahun jika disabitkan kesalahan mengikut undang-undang di Indonesia. -Agensi