Tangkap layar video menunjukkan remaja terbabit menangis teresak-esak demi meyakinkan keluarga konon dia diculik.
AKIBAT masalah kewangan dan tiada pekerjaan tetap, seorang remaja lelaki tergamak mereka-reka cerita kononnya diculik, malah sanggup menghantar video menangis kepada keluarga demi mendapatkan wang tebusan.Sebelum insiden itu, remaja berusia 19 tahun terbabit dilaporkan sudah beberapa kali meminta wang daripada keluarganya. Namun, disebabkan dihimpit kemelut kewangan yang tidak berkesudahan, dia didakwa mula merancang muslihat untuk mendapatkan wang dalam jumlah yang besar dengan memalsukan penculikan dirinya sendiri.Bagi meyakinkan keluarga, remaja dikenali sebagai Om Prakash mendakwa dia telah diculik di Pune, India dan meminta mereka membayar Rs5 lakh (kira-kira RM26,000) sebagai wang tebusan.Om turut merakam video dia menangis teresak-esak sebelum menghantarnya kepada keluarga.Bimbang dengan keselamatan anak mereka, keluarga berkenaan membuat laporan polis di Uttar Pradesh sebelum pihak berkuasa memaklumkan perkara itu kepada polis Pune.Polis kemudian mengesan lokasi telefon remaja tersebut menggunakan nombor telefon yang diberikan keluarganya.Hasil siasatan membawa polis ke sebuah rumah penginapan di kawasan Khadki, Pune.Ketika menyerbu bilik di Crown Plaza Lodging, polis tidak menemui mana-mana penculik sebaliknya mendapati Om Prakash berada di dalam bilik berkenaan dalam keadaan selamat.Ketika disoal siasat, dia akhirnya mengaku bahawa tiada sebarang penculikan berlaku dan seluruh drama itu sengaja direka untuk memeras wang tebusan daripada abang sulungnya.Polis turut mengesahkan bahawa video menangis teresak-esak itu hanyalah lakonan semata-mata sebagai umpan untuk menjayakan helah berkenaan.Om Prakash kini ditahan pihak polis dan bakal berdepan tindakan undang-undang atas perbuatannya. -Agensi