Rakaman insiden ketika mangsa diserang selepas cuba meleraikan pertengkaran antara sepasang suami isteri. -Foto Thaiger/Dailynews
SEORANG lelaki maut selepas ditikam ketika cuba meleraikan pertengkaran antara sepasang suami isteri, dalam satu kejadian pada Sabtu.Mangsa dikenali sebagai Thachakit Thawornchinnasombat, 27, maut akibat dua tikaman di bahagian dada. Mangsa dikejarkan ke Hospital Sunpasitthiprasong oleh pasukan penyelamat, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaannya ketika dalam perjalanan.Susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia 58 tahun dikenali sebagai Nopporn tampil menyerah diri di Balai Polis Mueang Ubon Ratchathani.Menurut abang mangsa yang dikenali sebagai Wittaya, 35, dalam kejadian kira-kira pukul 7.50 pagi di Jalan Chayangkoon, dekat wilayah Ubon Ratchathani, Thachakit keluar ke sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka sebelum terdengar pertengkaran antara Nopporn dan isterinya di sebuah restoran di seberang jalan.Bimbang akan keselamatan wanita itu, Thachakit dikatakan bertindak campur tangan sehingga berlaku pertengkaran antara dia dan Nopporn.Bagaimanapun, pertikaian tersebut berjaya dileraikan dan kedua-dua mereka beredar dari lokasi kejadian.Tidak lama kemudian, Thachakit kembali ke kedai runcit selepas menyedari telefon bimbitnya tertinggal di situ.Menurut Wittaya, ketika mangsa berada di lokasi berkenaan, Nopporn datang menunggang motosikal sebelum berhenti berhampiran Thachakit.Suspek kemudian dikatakan menghampiri mangsa sambil membawa sebilah pisau dan menikamnya sebanyak dua kali sebelum melarikan diri.Polis telah mendakwa Nopporn mengikut Seksyen 290 Kanun Jenayah Thailand kerana melakukan serangan yang menyebabkan kematian.Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun. -Agensi