SEORANG lelaki bertindak membakar sebuah hospital gara-gara tertekan selepas mengalami kerugian berjumlah 3,000,000 Baht (kira-kira RM393,871) dalam satu penipuan hartanah enam tahun lalu. Akibat tindakan tersebut, kebakaran yang berlaku di Hospital Det Udom Royal Crown Prince, Ubon Ratchathani, Thailand pada petang Jumaat lalu, menyebabkan kerugian sebanyak 100 juta Baht (kira-kira RM13,134,860), lapor Thaiger. Kebakaran itu bermula di tingkat tiga bangunan ketiga hospital tersebut. Walaupun dalam keadaan kelam-kabut, petugas hospital berkenaan bertindak pantas untuk memindahkan pesakit dengan selamat. Pasukan bomba mengambil masa lebih daripada satu jam untuk mengawal kebakaran. Menurut saksi, suspek dilihat melarikan diri dari hospital dengan sebuah kereta sedan berwarna hitam. Tidak lama selepas itu, kereta tersebut dirakam merempuh dua buah motosikal yang mengakibatkan tiga individu cedera berhampiran hospital. Suspek kemudian meninggalkan keretanya dan melarikan diri ke dalam hutan berdekatan lokasi kemalangan. Bagaimanapun, suspek yang dikenali sebagai Pibun Rachathammasakun, 40, akhirnya berjaya ditangkap. Ketika disoal siasat, dia mendakwa tindakannya didorong rasa tertekan dan mengakui tiada kaitan dengan hospital atau kakitangannya. Polis mengesahkan suspek tiada sejarah penyakit mental dan mampu berkomunikasi dengan jelas. Suspek berdepan dengan tiga pertuduhan termasuk cubaan membunuh, membakar harta awam dan memiliki senjata api tanpa kebenaran.