suria

Lama kahwin tapi tak hamil, isteri beritahu suami mahu ke hospital untuk bersalin... Pulang bawa bayi diculik

Memiliki zuriat sendiri menjadi idaman setiap wanita. -Gambar hiasan

SEORANG wanita ditahan polis kerana menculik bayi di hospital dan mengaku bayi itu adalah anaknya.

Suspek berusia 35 tahun telah tujuh tahun berkahwin dan tidak pernah hamil dikatakan mereka-reka cerita bahawa dia akhirnya mengandung.

Pada 27 Januari lalu, wanita itu menipu suami dan bapa mentuannya bahawa dia dimasukkan ke hospital untuk bersalin.

Dia kemudian menghubungi suami dan memaklumkan telah selamat melahirkan bayi lelaki sebelum pulang ke rumah bersama bayi berkenaan.

Lapan jam kemudian, polis tiba di rumahnya dan mendapati bayi itu bukan anak wanita berkenaan, sebaliknya diculik di hospital.

Polis menahan wanita itu dari Koloni Ambedkar di Alipur, India dan bayi itu diserahkan semula kepada ibu bapa kandungnya.

Menurut polis, pada 29 Januari mereka menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 32 tahun yang melaporkan anaknya diculik.

Wanita itu memberitahu dia bersama suami dan anaknya tiba di Hospital Safdarjung tiga hari sebelum kejadian bagi mendapatkan rawatan dan ketika itu dia berkenalan dengan suspek.

Dia kemudian meminta suspek menjaga anaknya sementara dia membeli susu, namun sebaik dia kembali anaknya dan wanita itu hilang.

Polis kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati wanita itu membawa lari bayi dengan teksi.

“Semasa disoal siasat, wanita itu memberitahu polis bahawa dia telah menipu suami dan bapa mentuanya dengan alasan dia sedang hamil.

“Selepas tujuh tahun berkahwin, dia tiada anak. Oleh itu, dia memutuskan untuk menculik seorang bayi dari Hospital Safdarjung,” kata polis.-Agensi

Artikel Lain