Masalah peribadi menjadi antara punca seseorang sanggup mengambil tindakan yang membahayakan nyawa. -Gambar hiasan
SEORANG lelaki berusia 30 tahun cuba membunuh diri dengan menelan racun, gara-gara kecewa selepas pasangannya mahu memutuskan hubungan. Menurut polis, teman wanita kepada lelaki tersebut dikatakan mahu memutuskan hubungan kerana tidak tahan dengan tabiat buruknya yang suka mengambil minuman keras. Kejadian berlaku di bandar Nagpur, Maharashtra, India. Ketika kejadian yang berlaku pada pagi Sabtu itu, lelaki tersebut pergi ke rumah teman wanitanya untuk memujuk namun berakhir dengan kegagalan kerana campur tangan ibu kepada kekasihnya itu. Lelaki tersebut kemudian bertindak menyerang kekasihnya menyebabkan keluarga wanita itu membuat laporan polis. Susulan laporan tersebut, polis memanggil lelaki berkenaan untuk disoal siasat. Ketika hadir memberikan keterangan, lelaki tersebut membawa sebotol racun dan membuat kekecohan di luar balai polis, sebelum bertindak menelan cecair berkenaan. Tindakan tersebut menyebabkannya muntah dan dia segera dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan. Polis berkata siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan dan lelaki tersebut bakal didakwa kerana cubaan membunuh diri. Sebagai peringatan bersama, membunuh diri adalah salah satu perbuatan dosa besar bagi mereka yang beragama Islam.