SEORANG lelaki berusia 45 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat lemas selepas bertaruh wang Rs 100 (kira-kira RM5) dengan rakan-rakannya untuk menyeberangi kolam. Menurut polis, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan mabuk ketika bersetuju dengan syarat pertaruhan tersebut. Kejadian dilaporkan berlaku berhampiran sebuah kolam di kampung Punawali Kala, daerah Jhansi, India. Mangsa yang merupakan bapa kepada empat anak, dikatakan bersetuju untuk menyeberangi kolam setelah rakan-rakannya mencabarnya untuk berbuat demikian bagi mendapatkan wang taruhan. Namun selepas berenang sejauh kira-kira 14 meter, mangsa mula terkapai-kapai di dalam kolam. Empat rakannya yang berada di tempat kejadian dilaporkan melarikan diri dan tidak cuba untuk memberikan pertolongan, kata polis, memetik kenyataan abang mangsa. Mangsa kemudian diselamatkan oleh penduduk kampung yang melalui kawasan tersebut, namun dia disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Polis berkata mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat. Pihak berkuasa kini sedang berusaha mengesan keempat-empat rakan mangsa yang terlibat dalam pertaruhan tersebut, bagi membantu siasatan.