suria

Doktor jalankan prosedur potong saluran sperma ke atas diri sendiri, keberanian sebagai ‘hadiah untuk isteri’

Dr Chen Weinong dari Taiwan menjalankan prosedur vasektomi ke atas dirinya sendiri.

SEORANG pakar bedah plastik meraih perhatian ramai selepas berkongsi satu video memaparkan dirinya menjalankan prosedur vasektomi ke atas diri sendiri.

Dr Chen Weinong yang juga seorang bapa kepada tiga anak, menyatakan bahawa tindakan berani itu adalah sebagai 'hadiah untuk isterinya'.

Vasektomi adalah prosedur membabitkan proses memotong saluran sperma dalam alat kelamin lelaki untuk menghalang persenyawaan sperma ketika ejakulasi, seterusnya bagi mencegah kehamilan.

Dalam video yang dimuat naik di platform Facebook dan Instagram, Dr Chen kelihatan berbaring di atas kerusi pembedahan, sambil tangannya memegang peralatan pembedahan untuk melakukan prosedur tersebut.

Walaupun dia sedar sepenuhnya, Dr Chen menggunakan ubat bius bagi memastikan kawasan organ genital kebas sepenuhnya semasa prosedur dijalankan.

Doktor di Taiwan ini berjaya menamatkan pembedahan dalam masa kira-kira sejam dan menjahit kembali kawasan tersebut menggunakan 'catgut', iaitu benang pembedahan yang biasa digunakan dalam prosedur perubatan.

"Satu perasaan yang aneh apabila menyentuh dan menjahit uretra saya sendiri," ujarnya sambil menambah, prosedur tersebut dilakukan di bawah pengawasan pakar urologi bertauliah, yang sedia mengambil alih jika berlaku sebarang komplikasi.

Video berkenaan mendapat perhatian meluas hingga meraih lebih 4 juta tontonan dalam masa beberapa hari sahaja

Ia turut mencetuskan perbincangan mengenai keberanian Dr Chen serta keunikan keputusan peribadinya.

Artikel Lain