suria

Lelaki terkejut pulang ke rumah, nampak majlis pengebumian untuk diri sendiri

Situasi yang menimbulkan pelbagai tanda tanya untuk seorang lelaki.

SEORANG lelaki terkejut apabila pulang ke rumah dan mendapati keluarganya sedang mengadakan upacara pengebumian untuk dirinya.

Salah faham itu dikatakan berpunca daripada kesilapan pihak polis mengenal pasti identiti satu mayat yang ditemukan, dipercayai mati akibat cuaca dingin pada 18 Januari.

Setelah selesai proses bedah siasat di hospital, polis memutuskan mayat itu adalah milik seorang individu bernama Phet yang menetap di daerah Sawang Dandin, Sakon Nakhon, Thailand.

Keluarga Phet kemudiannya dimaklumkan mengenai pemergian mendiang dan diminta untuk menyediakan upacara pengebumian sebagai penghormatan terakhir.

Namun keadaan menjadi sedikit aneh apabila tuan empunya badan tiba di rumah yang dipenuhi sanak saudara, dia terkejut melihat dirinya sudah meninggal dunia.

Setelah berdepan dengan pihak polis, ternyata mayat itu adalah milik orang lain yang mirip wajah.

Adik kepada Phet juga berkata dia pada awalnya mempunyai rasa sangsi bahawa abangnya sudah meninggal dunia.

"Seingat saya abang ada tatu dekat belakang badan, mayat yang polis tunjuk tu tak ada tatu. Tapi saya macam samar-samar, jadi saya tak bertanya lanjut," katanya.

Upacara pengebumian Phet seterusnya ditukar menjadi upacara menolak bala. -Agensi

Artikel Lain