SEORANG remaja perempuan maut, manakala jurupandunya cedera ketika melakukan aktiviti paragliding (luncur udara), pada petang Sabtu. Memetik laporan media tempatan, mangsa yang berusia 19 tahun dari Ahmedabad, India sedang bercuti bersama keluarganya di Himachal Pradesh dan mencuba aktiviti lasak tersebut. Ketika kejadian yang berlaku sekitar pukul 5.45 petang di kawasan berbukit di Indrunag, India, difahamkan payung paragliding tidak terbuka dengan sempurna menyebabkan mangsa dan jurupandunya terjatuh ke kawasan lereng bukit. Menurut polis, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala jurupandu yang berusia 29 tahun mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Hasil siasatan awal polis, kemalangan tersebut mempunyai unsur kecuaian dan polis masih melakukan siasatan lanjut. Insiden berkenaan adalah yang kedua dalam tempoh 24 jam, selepas seorang pelancong berusia 28 tahun dari Tamil Nadu maut ketika melakukan aktiviti sama, di Garsa pada Jumaat, dengan jurupandunya turut mengalami kecederaan.