suria

Pramugari tak puas hati, tempat duduk jadi isu... Khabib Nurmagomedov diusir keluar pesawat

Khabib meluahkan rasa tidak puas hati dengan servis kru kabin menerusi Instagram.

BEKAS juara Lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC), Khabib Nurmagomedov, diarahkan keluar dari sebuah pesawat Frontier Airlines dalam satu insiden yang kemudiannya mencetuskan perdebatan di media sosial.

Kejadian dilaporkan berlaku pada Sabtu ketika atlet kelahiran Rusia itu menaiki penerbangan dari Lapangan Terbang Las Vegas menuju Los Angeles, Amerika Syarikat.

Insiden bermula apabila Khabib diminta oleh pramugari untuk menukar tempat duduknya yang terletak berhampiran pintu kecemasan.

Pramugari mendakwa kurang selesa dengan kehadiran Khabib di barisan tersebut (pintu kecemasan) dan mengarahkannya sama ada menukar tempat duduk atau meninggalkan pesawat.

Namun, Khabib tidak bersetuju dengan arahan tersebut kerana menyifatkannya sebagai tidak adil.

“Semasa daftar masuk, saya telah berkomunikasi dengan mereka (kakitangan pesawat).

"Mereka juga bertanya sama ada saya memahami bahasa Inggeris, dan saya mengesahkannya,” katanya.

Tangkap layar tular ketika Khabib dihalau keluar pesawat.

Keadaan dilaporkan semakin tegang apabila pramugari memanggil penyelia untuk campur tangan.

"Saya tidak akan berdebat lebih lanjut. Saya akan panggil penyelia," kata kru kabin seperti mana dilihat dalam rakaman itu.

Rakaman video yang kini tular menunjukkan penyelia tiba sebelum Khabib diarahkan keluar dari pesawat.

Dalam perkembangan terbaharu pada Isnin, Khabib memuat naik ulasan di akaun Instagram miliknya berkongsi pengalaman pahit tersebut.

"Wanita yang datang bertanya kepada saya sangat kasar sejak awal, walaupun saya bercakap Bahasa Inggeris dengan baik dan memahami semuanya.

"Saya juga telah bersetuju untuk memberi kerjasama, namun dia tetap bertegas mahu saya dikeluarkan dari tempat duduk. Apakah asas tindakan itu? Adakah ia perkauman, bangsa atau sebab lain? Saya tidak pasti.

"Selepas dua minit berbincang, dia memanggil staf keselamatan dan saya diarahkan keluar dari pesawat. Selepas 1 jam 30 minit, saya menaiki pesawat lain dan tiba di destinasi," katanya.

Khabir turut menegaskan bahawa dia berusaha sebaik mungkin untuk kekal tenang dan saling menghormati seperti mana dapat dilihat dalam video tersebut.

Jelasnya, dia berharap agar kru penerbangan itu boleh bersikap lebih baik terhadap pelanggan pada masa hadapan.

Insiden ini mendapat perhatian ramai kerana netizen mengecam tindakan pihak syarikat penerbangan yang dianggap mengamalkan diskriminasi terhadap Khabib yang beragama Islam.

Frontier Airlines bagaimanapun belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain