SEORANG suri rumah didakwa membunuh bayi perempuannya yang berusia enam bulan, gara-gara mengalami kemurungan yang teruk selepas suaminya dikatakan mahu berkahwin lain.
Kejadian dilaporkan berlaku di Lampung Timur, Sumatera, Indonesia pada Sabtu.
Memetik laporan Detik, Ketua Polis Lampung Timur, AKBP Benny Prasetya berkata, kejadian sekitar pukul 4.00 pagi itu disedari oleh salah seorang anak suspek yang terdengar tangisan adik kecilnya.
"Anak suspek masuk ke dapur dan melihat adik perempuannya yang masih kecil berlumuran darah dan terbaring di lantai. Ibunya berada di sebelah adiknya dan sedang memegang sebilah parang," katanya.
Dia kemudian membawa mayat adiknya yang berlumuran darah ke rumah bapa saudara yang terletak bersebelahan, kata Benny.
"Dan apabila dia masuk semula, ibunya sedang terbaring dengan luka kesan kelar di tangan dan mulut berbuih akibat memakan racun semut," jelas Benny lagi.
Ujar Benny, pihak keluarga suspek membawa bayi malang itu ke pusat kesihatan terdekat namun tidak dapat diselamatkan.
"Suspek dalam keadaan sedar ketika ini tetapi masih lemah dan sedang dirawat di hospital.
"Disebabkan keadaan ini, suspek belum ditahan sebaliknya dikawal anggota polis di hospital," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube