suria

“Api masih marak” - Trump kritik pemimpin California, tak cekap tangani kebakaran LA

Trump mengkritik usaha menangani kebakaran Los Angeles. Foto Eric Lee/The New York Times

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) terpilih, Donald Trump mengkritik pihak yang bertanggungjawab menangani kebakaran hutan di Los Angeles (LA), dengan menggelar mereka sebagai 'tidak cekap'.

Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa kebakaran masih belum dipadamkan.

"Kebakaran masih marak di LA. Ahli politik yang tidak cekap tidak tahu bagaimana untuk memadamkannya," tulis Trump di platform Truth Social miliknya.

Komen Encik Trump menunjukkan bahawa kebakaran dan tindak balas pihak berkuasa terhadapnya kemungkinan akan menjadi agenda utama dalam politik domestiknya apabila beliau mengambil alih jawatan pada 20 Januari.

Beliau telah menghidupkan semula perseteruan yang berpanjangan dengan Gabenor California, Gavin Newsom, yang sebaliknya mendakwa Trump mempolitikkan kebakaran tersebut.

Bercakap kepada NBC's "Meet the Press" pada Ahad, Newsom menjemput Trump untuk melawat 'dengan niat tangan terbuka, bukan penumbuk tertutup', tetapi masih belum menerima sebarang respons.

Helikopter turut digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan Los Angeles.

Helikopter turut digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan Los Angeles. Foto AP Photo/Jae C. Hong

Gabenor itu berkata, beliau mengambil serius kritikan presiden terpilih itu untuk menahan bantuan bencana dengan serius.

Jika beliau berbuat demikian, kata Newsom, Trump akan secara efektif 'mengancam penyelamat pertama mereka'.

ARTIKEL BERKAITAN: Kebakaran Los Angeles: Angka kematian meningkat kepada 24 orang, amaran angin kencang tahap bahaya

ARTIKEL BERKAITAN: Aktivis anti-Israel di AS dikecam kaitkan kebakaran Los Angeles dengan serangan di Gaza

Ahli politik California itu telah menerima kritikan sejak kebakaran tercetus pada Selasa lalu, termasuk soal bagaimana pihak berkuasa tempatan dan negeri telah bersiap sedia untuk menghadapi kebakaran ini dan bagaimana ia merebak begitu cepat menjadi kebakaran besar.

Datuk Bandar Los Angeles, Karen Bass terpaksa berdepan dengan soalan mengenai sama ada amaran yang mencukupi diberikan tentang kemungkinan kebakaran yang memusnahkan dan mengapa berlaku kekurangan air dan anggota bomba semasa tindak balas awal.

Dalam satu sidang media pada Khamis lalu, beliau mengelak daripada menjawab soalan mengenai ketidakhadirannya di bandar itu ketika kebakaran bermula - beliau berada di Ghana untuk lawatan rasmi yang telah dijadualkan lebih awal.

Beliau memaklumkan bahawa sebarang penilaian terhadap kesilapan atau kegagalan oleh 'mana-mana pihak, jabatan, individu' akan dilakukan kemudian.

Sekurang-kurangnya 16 orang maut, dan sekurang-kurangnya 12,000 bangunan musnah setakat Ahad pagi, kata pihak berkuasa.

Trump merujuk kepada kemusnahan itu dalam hantarannya pada Ahad.

"Beribu-ribu rumah yang tersergam indah musnah, dan lebih banyak lagi akan hilang," tulisnya.

"Ada kematian di mana-mana. Ini adalah salah satu malapetaka terburuk dalam sejarah negara kita. Mereka tidak dapat memadamkan api. Apa masalah mereka?" kata Trump.

Hantaran Trump tidak menyebut nama mana-mana individu. -Agensi

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain