SEGALA yang dilakukan perlulah kena pada tempat dan waktunya. Gempar apabila sekumpulan remaja yang berhati kering bertindak bermain mercun di sebuah kawasan perkuburan sekitar Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia pada minggu lalu. Kumpulan remaja itu yang terdiri daripada lapan individu bagaimanapun sudah ditahan oleh polis atas kesalahan menyebabkan gangguan kepada penduduk sekitar. Ketua Polis Tallo, Komisioner Polis Syamsuardi berkata, kumpulan remaja itu membaling mercun antara satu sama lain kerana mahu berlawan siapa yang mampu menghasilkan letupan lebih kuat. "Ibu bapa remaja itu juga sudah dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan," ujarnya. Menerusi rakaman video yang menjadi tular, kelihatan kumpulan remaja itu mencetuskan situasi huru-hara di tanah perkuburan dengan menghasilkan letupan daripada pelbagai jenis mercun. Turut dapat diperhatikan beberapa penduduk tempatan yang berdiri di tepi menyaksikan kejadian itu berlaku. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube