suria

Tragedi mengerikan! Lelaki maut dihempap tandas hidraulik

Lelaki ini menemui ajal di bawah tandas hidraulik. Foto: Daily Star

SEORANG lelaki maut dihempap tandas hidraulik ketika sedang mengendalikan unit itu dalam kejadian di West End, di sini, pada Jumaat.

Pasukan keselamatan yang menerima maklumat kejadian bergegas ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa.

Operasi mengeluarkan mangsa di lokasi antara Shaftesbury Avenue dan Charing Cross Road, berhampiran daerah teater sibuk di ibu negara itu, bermula 1 tengah hari.

Sebanyak empat jentera dengan kekuatan 25 anggota dari pasukan bomba London termasuk bantuan polis dan paramedik terbabit operasi berkenaan.

Mangsa berjaya dikeluarkan, namun disahkan meninggal dunia.

Polis Metropolitan dalam kenyataan berkata, lelaki itu parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Waris mangsa juga sudah dimaklumkan," katanya seperti dilaporkan portal Independent.

Lelaki itu terperangkap di bawah tandas hidraulik, iaitu sistem tandas yang diletakkan bawah tanah dan dinaikkan ke jalan pada waktu malam untuk digunakan orang ramai.

Jurucakap Bomba London berkata, anggota bomba menerima panggilan berhubung seorang lelaki terperangkap.

"Lelaki itu terperangkap di bawah tandas hidraulik. Anggota bomba bersama agensi keselamatan lain menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkannya.

"Mangsa yang berjaya dikeluarkan diserahkan kepada perkhidmatan ambulans London, namun disahkan meninggal dunia," katanya.

Sebuah kren dibawa ke lokasi sebagai sebahagian daripada usaha mengangkat keseluruhan struktur keluar dari tanah.

Penutupan jalan dilakukan melalui Cambridge Circus, manakala bas dilencongkan dari kawasan itu. - Daily Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain