suria

Bayi ‘tertua’ selamat dilahirkan ke dunia selepas 30 tahun jalani pembekuan embrio

Pasangan bayi kembar dari embrio yang dibekukan selama 30 tahun, Lydia dan Timothy Ridgeway.

LEBIH 30 tahun menjalani proses pembekuan embrio, sepasang bayi kembar akhirnya dilahirkan ke dunia pada tanggal 31 Oktober 2022.

Pasangan kembar bernama Lydia dan Timothy Ridgeway itu menjadi bayi tertua yang melewati proses pembekuan embrio dan berjaya dilahirkan.

Embrio tersebut telah didermakan kepada Pusat Pendermaan Embrio Kebangsaan (NEDC) di Knoxville, Tennessee, pada tanggal 22 April 1992, menggunakan kaedah pembenihan in-vitro (IVF), kemudian disimpan pada suhu -196 °C (-323 °F) dalam nitrogen cair.

Ia kemudian diserahkan kepada pasangan Rachel dan Philip Ridgeway dari Portland, Oregon.

Pasangan tersebut sudah mempunyai empat anak, semuanya di bawah umur 10 tahun.

Terdapat perspektif menarik mengenai usia embrio tersebut dan pasangan suami isteri yang menjalani proses berkenaan.

Philip baru berumur lima tahun apabila embrio itu mula dibekukan.

"Kami tidak pernah memikirkan jumlah anak yang ingin kami miliki," ujar Phillip.

Pasangan itu juga memilih embrio berdasarkan urutan terawal, bukan kerana sengaja mencari embrio yang dibekukan lebih lama.

"Kami tidak mencari embrio yang telah dibekukan paling lama di dunia. Kami hanya menginginkan yang telah menunggu paling lama, kerana mereka yang paling awal dimasukkan ke dalam pangkalan data," ujarnya.

Sebelum ini, rekod bayi 'tertua' dipegang oleh Molly Everette Gibson, yang lahir pada 26 Oktober 2020 dan sudah dibekukan selama 28 tahun. - Sciencealert.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

embrio, IVF, bayi kembar, derma embrio

Artikel Lain