suria

Tak boleh pinjam ambulans, keluarga terpaksa jalan kaki usung jenazah 13km

Tangkap layar video satu keluarga berjalan kaki mengusung jenazah. sumber Facebook Fenny Tadius

JENAZAH seorang wanita terpaksa diusung dengan berjalan kaki sejauh 13 kilometer (km), gara-gara sebuah pusat kesihatan didakwa enggan meminjamkan ambulans.

Kejadian yang tular berlaku di Mamuju di Sulawesi Barat, Indonesia, pada Selasa lalu.

Menerusi satu video berdurasi 25 saat, jenazah yang berada di dalam keranda diusung oleh beberapa orang yang berjalan kaki di jalan raya.

Mengesahkan kejadian yang berlaku, Fenny Tadius yang merupakan anak saudara kepada jenazah menjelaskan ibu saudaranya dirawat di sebuah pusat kesihatan, Isnin lalu.

Namun, keadaan ibu saudaranya semakin tenat sehingga keluarga mahu membawanya pulang untuk dirawat di rumah.

"Maka pihak keluarga meminta pihak pusat kesihatan untuk menghantar ibu saudaranya pulang kerana keluarga fikir bahawa apabila orang tua kami meninggal dunia, tidak akan diantar oleh ambulans.

"Ini kerana terdapat kenyataan daripada pihak pusat kesihatan bahawa ambulans tidak boleh menghantar jenazah," kata Fenny kepada Kompas.com pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Protes kematian! Keluarga sanggup usung, letak keranda mayat depan penjara

Bagaimanapun kata Fenny, permintaan keluarganya ditolak oleh pusat kesihatan tersebut.

Pasrah dengan keadaan itu, keluarga Fenny menjaga ibu saudaranya sehingga meninggal dunia pada Selasa.

Fenny dan keluarganya mengakui kecewa meskipun ibu saudaranya meninggal dunia, pihak pusat kesihatan tetap menolak untuk menghantar jenazah.

Pusat kesihatan didakwa menegaskan bahawa ambulans hanya digunakan untuk membawa pesakit yang sedang sakit.

Keadaan tersebut membuatkan keluarganya terpaksa mengusung jenazah pulang ke rumah sejauh 13km.

Susulan kejadian yang tular, ketua daerah Mamuju, Sutinah Suhardu memohon maaf dan kesal dengan tindakan pusat kesihatan berkenaan yang tidak mempunyai inisiatif untuk menghantar jenazah.

Menyiasat perkara itu, Sutinah turut mengarahkan semua ketua pusat kesihatan supaya mengendalikan penghantaran jenazah dari pusat kesihatan ke rumah pengebumian sekiranya tidak berlaku kecemasan di pusat masing-masing. - Kompas

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain