suria

Pekerja zoo ‘cari penyakit’, usik singa akhirnya jari hampir putus kena gigit

Pekerja zoo bergelut menarik jarinya daripada mulut singa.

SATU klip video yang tersebar di internet memaparkan detik ngeri apabila seekor singa menggigit jari seorang pekerja zoo selepas lelaki tersebut mengganggunya.

Insiden mengerikan itu berlaku di Zoo Jamaica di St Elizabeth pada Jumaat.

Menerusi rakaman video, pekerja zoo itu dilihat cuba mengusik singa dengan memasukkan jarinya menerusi jaring pada sangkar haiwan tersebut.

Haiwan berkenaan kemudian mengeluarkan ngauman dan menunjukkan taringnya sebagai amaran namun ia tidak diendahkan, malah pekerja zoo itu terus mengusik.

Tanpa diduga, singa itu lantas menggigit jari pekerja zoo berkenaan yang kemudiannya bergelut untuk menarik jarinya daripada mulut haiwan tersebut.

Seorang saksi mata memberitahu Jamaica Observer, "Apabila ia berlaku, saya fikir ia adalah jenaka. Saya tidak fikir ia serius kerana tugas mereka untuk membuat persembahan.

"Apabila lelaki itu jatuh ke tanah, barulah orang ramai menyedari bahawa ia adalah serius. Semua orang mula panik.

"Seluruh kulit dan kira-kira sendi pertama jarinya hilang," tambah saksi itu lagi.

Video tersebut menjadi viral, dengan rata-rata netizen menegur tindakan kurang bijak lelaki tersebut yang 'mencari penyakit' kerana mengganggu singa. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain