suria

Penyakit aneh landa Nigeria, kerajaan sedang giat kenal pasti puncanya

Kerajaan Nigeria sedang giat mengenal pasti penyakit aneh yang menyebabkan kematian di utara Benue.

DI KALA China sedang 'huru-hara' dilanda wabak koronavirus atau Covid-19, situasi sama turut melanda Nigeria apabila satu penyakit aneh muncul di negara berkenaan.

Agensi berita Xinhua memetik seorang pegawai melaporkan, kerajaan Nigeria sedang giat mengenal pasti penyakit aneh yang menyebabkan kematian di utara Benue.

Ketua Pusat Kawalan Penyakit Nigeria (NCDC) Chikwe Ihekweazu berkata punca penyakit itu belum dapat dikenal pasti dan Pasukan Tindak Balas Pantas Negara akan membantu kerajaan negeri untuk menyiasat punca penyakit yang membawa kematian di Obi itu.

Kawasan itu terjejas disebabkan penyakit misteri yang melanda sejak tiga minggu lalu, mengorbankan empat orang.

Senator yang mewakili daerah Selatan Benue Abba Moro berkata 15 orang meninggal dunia akibat penyakit misteri itu manakala 104 lagi dimasukkan ke hospital.

Beliau berkata sampel air telah diambil untuk menguji kemungkinan penyakit itu disebabkan keracunan kimia, di mana kematian terakhir dilaporkan pada 7 Februari.

"Kami sedang memantau pesakit. Ujian untuk mengenal pasti sama ada ia akibat demam Lassa dan demam Kuning dan keputusannya negatif. Jadi, kami masih menunggu keputusan akhir," kata Ihekweazu.

Kerajaan negeri akan mengambil sampel air, pasir, ikan, dan tumbuhan di Oye Obi untuk diuji di luar negeri. - BERNAMA

Nigeria, penyakit aneh

Artikel Lain