suria

Gunung Merapi meletus, muntahkan abu setinggi 2,000 meter... Indonesia keluarkan amaran

Gunung Merapi di Indonesia yang meletus awal pagi Khamis memuntahkan abu sehingga 2,000 meter. Foto: AFP

SUSULAN letusan Gunung Merapi yang berlaku awal pagi Khamis, Indonesia mengeluarkan amaran kepada pelancong dan penduduk supaya tidak berada berhampiran gunung berkenaan, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Menurut Agensi Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Indonesia untuk Bencana Geologi (BPPTKG), gunung berapi itu meletus selama dua minit, bermula 5.16 pagi (waktu tempatan).

Ia memuntahkan abu sehingga 2,000 meter, yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan penduduk tempatan.

Terletak di sempadan antara wilayah Jawa Tengah dan Yogyakarta, gunung berapi itu aktif sejak kebelakangan ini dengan letusan terakhir dilaporkan pada 4 Januari.

Walaupun letusan berlaku seketika, BPPTKG tetap meletakkan amaran pada tahap "waspada".

Indonesia antara negara yang sering dilanda bencana letusan gunung berapi dan gempa bumi kerana terletak di "Lingkaran Api Pasifik".

Pada 2018, negara itu dilanda sebanyak 11,577 gempa bumi, yang mengorbankan banyak nyawa.  - BERNAMA

Gunung Merapi, Indonesia

Artikel Lain

Duka dipecat Chelsea, Lampard luah rasa hati