Ibu terpaksa buat pendedahan di Facebook, rayu perompak pulangkan rambut anak telah mati - Dunia | mStar

Ibu terpaksa buat pendedahan di Facebook, rayu perompak pulangkan rambut anak telah mati

Kirsty Baldwin memuat naik posting di Facebook merayu supaya rambut anaknya yang telah meninggal dunia dipulangkan. -foto Polis Greater Manchester

SEORANG ibu terpaksa membuat pengakuan terdesak dan merayu kepada perompak serta orang ramai untuk memulangkan rambut anak perempuannya yang meninggal dunia enam tahun lalu.

Beg tangan milik Kirsty Baldwin, 35, dari Lossiemouth, Moray, telah dirompak ketika dia sedang duduk di dalam kereta di sebuah kawasan persinggahan lebuh raya berhampiran Manchester.

Ia mengandungi gumpalan rambut anak perempuannya, Ellie Louise Baldwin, yang begitu berharga buat dirinya selepas anaknya itu meninggal dunia ketika berusia dua tahun pada tahun 2013 akibat radang paru-paru bronkial.

Kirsty membuat pengakuan dan rayuannya di Facebook dengan berkata: “Anak perempuan kami meninggal tanpa diduga akibat pneumonia bronkial dan hanya rambutnya yang kami ada selain pakaian yang dipakai pada malam dia meninggal dunia. Tolonglah, jika sesiapa menjumpai gumpalan rambut seperti dalam gambar, sila buat sesuatu yang betul dan bawa ia ke balai polis terdekat. Terima kasih.”

Dalam kejadian itu, Kirsty berhenti sebentar untuk minum kopi selepas pulang dari Lapangan Terbang Manchester dan dia dirompak kira-kira jam 10.30 malam Rabu.

Dia berkata seorang lelaki telah membuka pintu keretanya, merampas beg tangannya sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita.

Polis kini sedang memburu pasangan itu dan telah mengeluarkan butiran kereta tersebut.

Beg tangan berjenama itu juga mengandungi iPad, wang tunai Euro dengan jumlah yang besar dan dompet yang mengandungi kad peringatan, yang tertulis: “Ellie Louise Baldwin dalam kenangan yang ‘pergi’ pada 8 Februari 2013, berusia 2 tahun.” -MetroUK

rambut , meninggal dunia , rompak

Artikel Berkaitan

Artikel Lain