suria

Lima remaja sambut hari jadi maut, pusat permainan 'Escape Room' terbakar

Pasukan polis di lokasi kejadian di Koszalin, Poland. Foto EPA

LIMA remaja perempuan terkorban dalam kejadian kebakaran di pusat permainan 'Escape Room' di Poland.

Polis berkata, kesemua remaja berusia 15 tahun ditemui selepas pasukan bomba memadamkan kebakaran di 'Escape Room' di Koszalin.

'Escape Room' merupakan pusat permainan popular dalam kalangan remaja di Poland, di mana setiap peserta akan berada di dalam bilik atau bangunan yang terkunci, dan mereka perlu mencari petunjuk untuk membantu mereka mencari jalan keluar.

Menteri dalam negeri, Joachim Brudzinski mengesahkan kesemua mangsa adalah remaja perempuan berusia 15 tahun.

Seorang jurucakap polis di Koszalin, Monika Kosiec berkata, kesemua mangsa dikatakan menyambut hari ulang tahun salah seorang daripada mereka.

Tambahnya, seorang lelaki berusia 25 tahun dimasukkan ke hospital selepas mengalami kesan melecur.

Dia bagaimanapun masih belum disoal siasat polis berhubung punca kebakaran.

Sebuah agensi berita Poland melaporkan ia difahamkan bahawa mangsa maut terhidu gas karbon monoksida.

Brudzinski mengarahkan kawalan keselamatan kebakaran dipasang di semua pusat permainan 'Escape Room' di Poland.

Presiden, Andrzej Duda menerusi twitternya menyifatkan ia sebagai satu tragedi sehingga mengorbankan nyawa lima remaja yang masih muda. - Mail Online

Escape Room

Artikel Lain