suria

Bayi lahir di platform kereta api dapat pas percuma seumur hidup

-foto Weibo

SEORANG wanita selamat melahirkan bayi di platform kereta api bawah tanah dengan bantuan kakitangan dan paramedik dalam kejadian baru-baru ini.

Wanita itu menunjukkan tanda-tanda kelahiran di Stesen Nanmendou di Fuzhou, wilayah Fujian, ketika sedang menunggu tren sekitar jam 11 pagi dan keluarganya segera menelefon ambulans.

Ketika menunggu paramedik tiba, kakitangan stesen itu menyediakan wad sementara dengan memasang tirai besar mengelilingi bangku dan menggunakan sistem pembesar suara stesen untuk mendapatkan bantuan perubatan.

Tidak lama kemudian, pasukan paramedik tiba dan memutuskan untuk membantu wanita tersebut melahirkan anaknya di stesen keretapi bawah tanah itu kerana air ketubannya telah pecah dan kepala bayi sudah terkeluar.

Dengan bantuan dua kakitangan stesen keretapi bawah tanah, proses kelahiran dijalankan di dalam wad sementara dan pada masa yang sama kakitangan lain membantu mengalihkan perhatian penumpang.

Proses itu berjalan lancar dan wanita itu selamat melahirkan anak keduanya, seorang bayi perempuan yang sihat kira-kira jam 12 tengah hari sebelum dibawa ke hospital di mana keadaan kedua-duanya stabil.

Menurut Fuzhou Metro, bayi tersebut juga mendapat 'pas keretapi bawah tanah percuma seumur hidup' kerana dia merupakan 'bayi keretapi bawah tanah' yang pertama di bandar itu. -Asia One

pas percuma, tren

Artikel Lain