suria

Cincin tunang tercicir sebaik melamar di New York, pasangan Britain ini terkejut dihubungi polis

SEBAIK teman wanitanya berkata "Ya" selepas dilamar, John Drennan yang teruja terus menyarungkan cincin ke jari manis Daniella Anthony.

Walaupun jelas saiz cincin pertunangan itu besar daripada jari wanita itu, tetapi Drennan tidak menghiraukan kata-kata Anthony dan masih mahu menyarungkan cincin ke jari manisnya.

Ketika itu pasangan berkenaan sedang berjalan balik ke hotel di bandaraya New York dan tiba-tiba cincin yang longgar itu terlucut dari jari Anthony dan jatuh sebelum masuk melalui besi pengadang laluan bawah tanah.

"Masih ingat lagi bagaimana ia tiba-tiba terlucut dan bergolek sebelum hilang dari pandangan," kata Anthony.

Kisah pasangan warga British itu mendapat perhatian pasukan polis bandaraya berkenaan.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan bagaimana pasangan itu cuba mengesan cincin berkenaan sambil dibantu pejalan kaki yang lalu lalang di kawasan itu selama kira-kira dua jam.

Klip video itu dikongsi jabatan polis bandaraya New York (NYPD) dan ia tular apabila mendapat lebih 20,000 ulang kicau.

Dan akhirnya nasib menyebelahi pasangan itu apabila NYPD yang mengambil inisiatif mencari cincin berkenaan telah berjaya menemuinya.

Seterusnya usaha mengesan pasangan itu dilakukan dengan memuatnaik menerusi Twitter.

Kisah mengenai cincin ini turut menjadi tajuk utama berita hingga ia sampai ke pengetahuan pasangan berkenaan yang ketika itu telah pulang ke Britain.

"Pasangan bahagia itu telah pulang ke kampung halaman mereka, terima kasih atas retweet anda semua kerana akhirnya mereka tahu kami sedang mencari mereka," demikian tulis NYPD.

Pasukan polis itu sedang mengatur perancangan untuk memulangkan cincin berkenaan kepada mereka.

Kata Anthony, sebaik tiba di London, seorang kawan menghubungi mereka bertanya sama ada mengenai cincin itu.

"Memang kami tidak percaya akan mendapatnya semula," katanya yang berterima kasih kepada semua pihak yang berusaha membantu mencari cincin berkenaan terutama NYPD. 

Akhirnya, cincin itu sekali lagi disarungkan Drennan ke jari manis Anthony selepas ia dipulangkan kepada pasangan itu di Peterborough, Cambridgeshire.



Drennan, Anthony, NYPD

Artikel Lain