suria

Lelaki lepas tembakan dedah jantina anak bakal lahir, hutan terbakar seminggu

APABILA seorang ejen peronda sempadan Amerika Syarikat, Dennis Dickey memutuskan untuk mengumumkan jantina bayi yang bakal lahir kepada keluarga dan rakannya, dia tidak pernah membayangkan caranya itu akan menyebabkan kebakaran di kawasan seluas 45,000 hektar.

Mengikut perancangan, Dickey, 37, mahu menembak sasaran yang akan meletupkan serbuk berwarna merah jambu atau biru, sekali gus mendedahkan jantina anaknya yang bakal dilahirkan.

Tetapi, dia tidak berfikir panjang.

Pertama, dia membungkus sasarannya dengan bahan letupan yang dipanggil Tannerite.

Untuk hasil yang lebih dramatik, Dickey memilih untuk meletakkannya di kawasan dikelilingi rumput kering dan pokok mesquite.

Apabila Dickey melepaskan tembakan, kepulan asap biru meletup, mendedahkan bahawa dia akan menimang anak lelaki.

Bagaimanapun, mereka tidak ada masa untuk meraikannya kerana selepas letupan itu, api merebak dengan cepat.

Ia bertukar menjadi kebakaran besar yang membakar kawasan seluas lebih dari 45,000 hektar tanah di Lebuh Raya Arizona 83 dan memaksa beratus-ratus penduduk keluar dari rumah mereka.

Kebakaran itu yang dikenali sebagai 'Sawmill Wildfire' menyebabkan 800 orang anggota bomba terpaksa dikerah selama seminggu untuk memadamkan api dan kerajaan Amerika Syarikat terpaksa menanggung kos berjuta-juta dolar untuk kerosakan dan kemusnahan.

Kejadian berlaku pada April 2017, tetapi videonya hanya diterbitkan oleh akhbar Arizona Star baru-baru ini.

Ketika api sedang merebak ke rumput kering, dua lelaki dilihat berlari di hadapan kamera.

"Mula berkemas!" jerit seorang lelaki.

"Apa?," seorang lagi lelaki bertanya.

"Mula berkemas!" jerit lelaki itu sekali lagi.

Dia yang tidak bertugas pada masa itu kemudian bergegas memanggil pihak berkuasa dan mengakui tidak sengaja mencetuskan kebakaran.

Nasib baik kebakaran itu tidak menyebabkan kecederaan atau memusnahkan bangunan, tetapi Dickey masih perlu membayar denda.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan mengakibatkan kebakaran yang dilakukan tanpa permit dan bersetuju untuk membayar AS$100,000 (RM417,519) ketika hukuman dijatuhkan pada Oktober dan AS$120,000 (RM501,022) lagi dalam bayaran bulanan sebanyak AS$500 (RM2,087) dalam masa 20 tahun.

Dickey juga bersetuju untuk menjalani tempoh percubaan selama lima tahun dan muncul dalam video perkhidmatan awam untuk menghalang orang ramai daripada melakukan kesilapan yang sama dengannya.

"Saya rasa sangat teruk," kata Dickey dalam salah satu pendengarannya.

"Ia adalah hari yang paling malang dalam hidup saya." -OddityCentral

jantina, letup

Artikel Lain