suria

Stephen Hawking Hasil Teori Wujud Alam Semesta Lain Sebelum Meninggal Dunia

STEPHEN Hawking telah mengemukakan kertas kerja saintifik terakhirnya hanya 10 hari  sebelum saintis terkenal itu meninggal dunia.

Dokumen itu menggariskan teori berhubung langkah untuk mengesan alam semesta yang hampir serupa dengan apa yang ada ketika ini.

Hawking yang meninggal dunia pada usia 76 tahun minggu lalu adalah penulis bersama kertas kerja matematik untuk mendapatkan bukti teori kepelbagaian alam semesta yang mengetengahkan kemungkinan wujudnya alam semesta lain.

Kertas kerja bertajuk "Laluan Mudah Dari Pengembungan Luaran" telah diluluskan pada 4 Mac lalu dan akan diterbitkan sebuah jurnal terkemuka selepas penelitian semula selesai.

Laman web Universiti Cornell, ArXiv.org yang menjejak kertas kerja saintifik sebelum menerbitkannya telah menyenaraikan dokumen dihasilkan Hawking itu.

Menurut The Sunday Times, kandungan kertas kerja itu menggariskan keperluan matematik untuk meneroka lebih mendalam ruang angkasa lepas bagi mengumpul bukti mengenai kewujudan alam sejagat lain.

Menurut rakan pengkaji bersama Hawking iaitu, Thomas Hertog berkata, kertas kerja itu bertujuan  untuk mengubah fikiran mengenai alam semesta yang pelbagai kepada rangka kerja saintifik yang boleh diuji.

Hertog yang juga profesor fizik di Universiti KU Leuven, Belgium memberitahu Sunday Times dia telah menemui Hawking untuk mendapatkan pengesahan berhubung dokumen akhir itu.

Akhbar itu menyebut, jika teori yang dinyatakan itu mampu menghasilkan bukti ia boleh membawa kepada pencalonan Hadiah Nobel.

Bagaimanapun, memandangkan Hadiah Nobel tidak boleh dianugerahkan kepada individu yang telah meninggal dunia, maka Hawking tidak layak menerimanya.-TheSundayTimes




Hawking, Hertog

Artikel Lain