suria

Telefon Bimbit Terkecil Dunia Diperkenal

Paparan skrin video Zanco t1 di Youtube.

KETIKA telefon pintar skrin besar kini lebih popular berbanding sebelum ini, sebuah syarikat pengeluar cuba menentang perkembangan ini dengan mencipta telefon bimbitnya sekecil mungkin.

Pencapaian terbaru mereka adalah telefon pintar yang lebih kecil daripada purata saiz ibu jari manusia dan lebih ringan berbanding duit syiling logam.

Zanco t1 bersaiz comel ini sedang diiklankan sebagai telefon bimbit terkecil di dunia.

-fotoZanco/FB

Ia boleh diselitkan ke dalam poket terkecil, boleh menyimpan sehingga 300 nombor dalam buku telefonnya dan boleh dijadikan sebagai hadiah yang bermakna dan praktikal.

Sekiranya anda tertanya-tanya, Zanco mendakwa produk ini sememangnya berfungsi sepenuhnya sebagai 'telefon bimbit untuk bercakap dan teks' yang membolehkan pengguna membuat dan menerima panggilan dan saling bertukar mesej teks.

Sudah pasti ramai yang tertanya-tanya adakah pengguna masa kini benar-benar berminat dengan telefon mudah alih kecil itu?

Untuk mendapat jawapannya, Zanco dan Clubbit telah menubuhkan kempen pungutan dana Kickstarter dengan sasaran sebanyak $33,444.

Mereka menganggap, jika jumlah itu berjaya dikumpulkan, Zanco t1 itu berbaloi untuk dikeluarkan secara besar-besaran. Dengan baki 22 hari lagi, kempen ini telah melepasi sasarannya, apabila berjaya mengumpulkan sebanyak $102,816 (pada masa artikel ini ditulis).

"Kami bangga memperkenalkan telefon bimbit terkecil di dunia. Ia sangat kecil, anda tidak akan percaya ia wujud! Ia adalah hadiah yang sempurna untuk pecinta gajet dan muat untuk beg atau poket tidak kira berapa kecil pun ia," menurut kenyataan di halaman kempen Kickstarter.

"Kali pertama anda melihatnya, anda tidak akan mempercayainya. Kemudian anda berfikir mengapa ia wujud? Apabila anda melihatnya kali ketiga, anda akan sedar betapa anda mahukannya."

-fotoZanco/FB

Berdasarkan kejayaan kempen, mereka nampaknya di landasan betul.

Zanco t1 berfungsi dengan mana-mana rangkaian telefon bimbit dan menggunakan kad SIM nano.

Satu perkara yang harus dipertimbangkan sebelum menempahnya melalui kempen Kickstarter adalah, disebabkan saiznya dikecilkan, ia hanya beroperasi pada rangkaian 2G.

-fotoZanco/FB

Australia dan Jepun telah berhenti menggunakan rangkaian 2G untuk sebarang jenis sambungan mudah alih, jadi sebaiknya periksa dahulu ketersediaan 2G di negara anda sebelum menempah.

Penyokong Kickstarer dijangkakan menerima telefon mudah alih Zanco kecil mereka pada Mei 2018.

Ramai juga akan tertanya-tanya adakah telefon bimbit terkecil di dunia yang baharu ini akan menjadi popular dalam kalangan penghuni penjara seperti pendahulu, Zanco Fly.

Kerana saiznya yang kecil dan hampir 100 peratus plastik, Fly nampaknya sangat mudah untuk disembunyikan dan di seludup oleh banduan.

Zanco t1, telefon terkecil, Zanco Fly

Artikel Sebelum

Bisu Selepas Lama Tak Bercakap

Artikel Berikut

Artikel Lain