suria

70 Tawanan Penjara IS Dibebas

WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 70 tawanan perang yang menunggu hukuman mati dibebaskan apabila tentera Kurdis dan Amerika Syarikat (AS) menyerbu penjara kumpulan militan Negara Islam di utara Iraq.

Pentagon memberitahu, kejadian pada subuh Khamis itu mengakibatkan seorang tentera AS maut.

Menurut Setiausaha Media Pentagon, Peter Cook, lima militan IS ditahan dan beberapa lagi dibunuh dalam serbuan di penjara berdekatan daerah Hawijah itu.

“Operasi ini dirancang dan dilancarkan selepas kami menerima maklumat bahawa semua tahanan itu akan dibunuh.

“Ini adalah situasi yang unik,” katanya.

Katanya lagi, misi itu mendapat sokongan Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dan operasi itu juga telah dimaklumkan kepada White House.

Menurutnya, tentera AS menyertai misi itu selepas menerima permintaan kerajaan Kurdis untuk membantu mereka.

“Misi ini bukan bermakna AS terlibat dalam perang di Iraq,” tegas Cook.

Penduduk setempat memberitahu agensi berita AFP bahawa beberapa buah helikopter jenis Chinook terlibat dalam serbuan itu dengan pos-pos kawalan IS di kawasan terbabit telah dibom.

Cook berkata, helikopter AS dan unit komando AS menyertai tentera Kurdis menyerbu penjara berkenaan.

“Kira-kira 70 tahanan di­selamatkan termasuk lebih 20 anggota pasukan keselamatan Iraq,” katanya. – AFP



Kurdis, IS, AS, Peter Cook

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain