suria

Daulat, Hak Istimewa Punca Arab Saudi Enggan Kongsi Urus Haji

RIYADH: Kedaulatan dan hak istimewa menjadi alasan utama Arab Saudi menolak idea untuk berkongsi pentadbiran dalam menguruskan ibadah haji bersama negara Islam lain.

Putera diraja Arab Saudi, Turki al-Faisal berkata demikian bagi membalas pelbagai kritikan terhadap negara itu susulan tragedi rempuhan di Mina yang mengorbankan lebih 1,400 jemaah.

Bercakap kepada agensi berita Associated Press (AP), anggota utama keluarga diraja Saudi itu berkata, pihaknya tidak dapat berkompromi dengan saranan itu kerana ia melibatkan soal kedaulatan dan hak istimewa.

Negara seteru Arab Saudi iaitu Iran yang mencatat kematian paling ramai jemaah dalam insiden itu menuduh kesilapan pengurusan kerajaan Arab Saudi sebagai punca rempuhan berlaku.

Teheran seterusnya menggesa satu badan bebas diwujudkan bagi menyelia pengurusan ibadah haji pada setiap tahun.

Keluarga diraja Al Saud yang memerintah Arab Saudi mendapat martabat tinggi dalam dunia Islam kerana tugas mereka sebagai penjaga dua tanah haram iaitu Mekah dan Madinah.

Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman seperti monarki sebelumnya memegang gelaran Penjaga Dua Masjid Suci iaitu merujuk kepada Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah yang juga masjid pertama dibina oleh Nabi Muhammad.

“Kami tidak akan menyerahkan hak istimewa atau martabat sebagai pembantu dua tempat suci ini,” tegasnya. – AP

Arab Saudi, haji, Mina, Turki al-Faisal

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain