suria

Kanak-Kanak Antara Korban Puting Beliung Di Mexico

CIUDAD ACUNA: Tiga kanak-kanak antara 13 yang terkorban, manakala ratusan lagi cedera akibat puting beliung membadai bandar utara Mexico ini.

Kemusnahan harta benda dicatatkan termasuk kediaman dan kenderaan yang melambung akibat bencana itu.

Setakat ini, 750 kediaman musnah di seluruh kawasan Rio Grande sekali gus menyebabkan ribuan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Jurucakap negeri Coahuila, Jesus Garcia berkata, bencana itu turut mencederakan lebih 230 orang yang kini dirawat di beberapa hospital tempatan.

Menurut laporan, dinding dan siling rumah runtuh akibat tekanan angin berpusar itu yang bergerak selaju 50 kilometer sejam.

"Kejadian ini sesuatu yang tidak biasa dihadapi penduduk bandar ini kerana belum pernah berlaku tornado sejak beratus tahun lamanya di sini," kata Datuk Bandar Ciudad Acuna, Lenin Perez, kepada radio tempatan.

Katanya lagi, rekod di Acuna menunjukkan bandar itu tidak pernah mengalami tornado dalam tempoh 110 tahun.

Seorang jurucakap Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan berkata, ia adalah tornado paling kuat melanda negara itu dalam tempoh sekurang-kurangnya 15 tahun. - Reuters

Artikel Lain