suria

Gempa Bumi 5 Pada Skala Richter Gegar Nepal Sekali Lagi

Kesan gempa bumi yang melanda Nepal lewat malam Selasa.

KATHMANDU: Gempa bumi berukuran 5 pada skala Richter melanda Nepal lewat malam Selasa mengejutkan penduduk di Kathmandu yang sebelum itu sudahpun panik.

Penduduk di Kathmandu dan di tempat lain keluar ke jalan raya menjerit dan meredah ribut kencang dan hujan berikutan gempa bumi itu.

Gempa bumi itu berpusat di Rasuwa, kira-kira 50 kilometer ke utara Kathmandu, kata Pusat Seismologi Kebangsaan kerajaan (NSC).

Tiada kemalangan jiwa dan kerosakan baharu dilaporkan akibat gempa bumi itu, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Taufan yang kuat dan ribut menyebabkan kerosakan di Kathmandu dan lain-lain daerah namun laporan terperinci belum diterima, kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Laxmi Prasad Dhakal.

Sebelum itu, empat gegaran lain lebih daripada 4 magnitud menggegarkan Kathmandu dan kawasan sekitarnya pada Selasa.

Lebih daripada 30,000 gempa susulan dengan 373 daripadanya lebih daripada 4 magnitud dirasai sejak gempa bumi kuat melanda Nepal 25 April lepas meragut nyawa sekurang-kurangnya 8,600 orang.

Walaupun sebulan selepas gempa bumi kuat pertama itu berlaku, ramai orang di Kathmandu masih tinggal di bawah khemah di kawasan lapang kerana bimbang dengan gegaran lain yang lebih kuat.

Kerajaan telah meminta rakyat untuk pulang ke rumah mereka dan menjalani kehidupan normal berikutan tiada lagi gempa bumi yang besar dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, orang ramai tidak mempedulikannya dan terus tinggal di dalam khemah disebabkan bimbang dengan gegaran susulan yang berterusan.

Ahli seismologi berkata, gempa susulan adalah biasa yang akan berterusan  selama berbulan-bulan.

"Gempa susulan berlaku di mana-mana tempat di dunia untuk tempoh tertentu selepas gempa bumi yang kuat dan orang ramai perlu menerimanya seperti biasa memandangkan gempa susulan akan terus berlaku untuk beberapa kali lagi termasuk di Nepal juga," kata Som Lal Sapkota dari NSC.

"Tidak sepatutnya timbul rasa panik kerana gempa bumi kuat tidak akan berlaku sekali lagi dalam masa terdekat.

Lebih daripada setengah juta rumah musnah akibat gempa bumi dan mereka yang kehilangan rumah meminta kerajaan untuk membantu membina tempat tinggal sementara sebelum hujan monsun bermula.

Monson bermula di Nepal pada Jun dan berakhir sehingga September.

Kerajaan telah berjanji untuk membina tempat perlindungan sementara tidak lama lagi dan membina semula bangunan dan struktur dalam tempoh tiga tahun.-- Bernama


gempa bumi, Nepal, Rasuwa

Artikel Lain