suria

Wasiat Mendiang Kuan Yew Robohkan Segera Rumah Di Oxley Road

Rumah mendiang Lee Kuan Yew, 38 Oxley Road.

SINGAPURA: Anak-anak kepada bekas Perdana Menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew, Lee Hsien Yang dan Lee Wei Ling telah mengulangi hasrat bapa mereka mengenai rumahnya di Oxley Road.

Dalam kenyataan menerusi firma guaman mereka pada Ahad, kedua-duanya berkata, mendiang bapa mereka telah mewasiatkan supaya merobohkan rumah itu serta-merta selepas kematiannya.

Sekiranya Wei Ling (anak perempuan Kuan Yew) terus tinggal di rumah tersebut, maka rumah itu perlu dirobohkan serta-merta selepas beliau berpindah dari situ.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura kerana bersama-sama bersedih atas kematian bapa mereka, pada 23 Mac lepas, Hsien Yang dan Wei Ling berkata mereka tersentuh dengan ucapan takziah yang tidak putus-putus diterima dan penghormatan yang diberikan kepada bapa mereka.

Menurut mereka, bapa mereka melantik kedua-dua mereka sebagai wasi dan pemegang amanah wasiat terakhir dalam Wasiat Lee Kuan Yew bertarikh 17 Disember 2013.

Dalam wasiatnya, Kuan Yew menyatakan: "Saya seterusnya mengaku bahawa ia adalah hasrat saya, dan hasrat mendiang isteri saya, KWA GEOK CHOO, bahawa rumah kami di 38 Oxley Road, Singapura dirobohkan segera selepas kematian saya atau jika anak perempuan saya, Wei Ling, memilih untuk terus tinggal di rumah asal, dirobohkan segera selepas dia keluar dari Rumah.

"Saya mahu anak-anak memastikan hasrat kami berhubung dengan perobohan rumah itu dijalankan." 

Hsien Yang dan Wei Ling berkata, bapa mereka telah beberapa kali menghebahkan hasrat ini secara umum termasuk dalam bukunya 'Hard Truths to Keep Singapore Going'.

Di samping itu, kedua-dua ibu bapa kami telah beberapa kali menyatakan hasrat yang sama berhubung dengan rumah keluarga kami kepada anak-anak mereka secara peribadi.

Menurut mereka, bapa mereka bimbang bahawa satu perintah mungkin dikeluarkan terhadap hasratnya itu.

Oleh itu, beliau memasukkan dalam Wasiat Lee Kuan Yew bahawa "Jika anak-anak kita tidak dapat merobohkan rumah itu akibat sebarang perubahan dalam undang-undang, kaedah-kaedah atau peraturan yang mengikat mereka, adalah menjadi hasrat saya bahawa rumah ini tidak dibuka kepada orang ramai kecuali untuk anak-anak saya, keluarga dan keturunan mereka sahaja."

Hsien Yang dan Wei Ling berkata, mereka mempunyai tanggungjawab (sebagai wasi dan pemegang amanah Wasiat Lee Kuan Yew dan kewajipan moral (selaku anak-anaknya) untuk memastikan bahawa Wasiat Lee Kuan Yew ini ditadbir dengan telus.

"Bapa kami telah menumpukan seluruh jiwa raganya untuk menyumbang khidmat kepada rakyat Singapura. Kami berharap rakyat Singapura akan mematuhi dan menghormati hasratnya sebagaimana yang dinyatakan dalam wasiat terakhirnya," kata mereka. - BERNAMA

Artikel Lain