suria

Kotak Hitam Kedua GermanWings Terus Jadi Buruan

SEYNE-LES-ALPES: Biarpun telah masuk hari keempat nahas pesawat GermanWings, pihak polis dan pasukan penyelamat masih bertungkus lumus mencari kotak hitam kedua atau perakam data penerbangan di lokasi nahas di Pergunungan Alps. 

Pihak berkuasa juga dilihat mencari sampel DNA bagi membantu mengenal pasti identiti 150 orang yang terbunuh dalam nahas itu, dan berdasarkan laporan awal punca pesawat itu terhempas diyakini disebabkan tindakan sengaja pembantu juruterbang, Andreas Lubitz yang menjunamkan pesawat ke gunung.

"Setakat ini kita mengumpul elemen biologi terlebih dulu, selepas ini barulah serpihan pesawat," kata jurucakap polis.

Penyiasat Perancis berkata, Lubitz sengaja membawa pesawat itu  secara menjunam sebelum merempuh gunung, disifatkan sebagai tindakan yang sukar dibayangkan kata seorang kanselor Jerman Angela Merkel.

Jerman dan Sepanyol merupakan dua negara yang paling terkesan dengan tragedi yang berlaku 75 warga Jerman dan sekurang-kurangnya 50 warga Sepanyol berada dalam pesawat malang yang sedang dalam perjalanan dari Barcelona ke Duesseldorf, Jerman.


Perdana Menteri Perancis, Manuel Valls, berkata punca nahas itu setakat ini menjurus kepada tindakan yang sukar hendak digambarkan; "sama ada jenayah, gila atau bunuh diri.

"Terserah kepada pasukan penyiasat terutama Jerman dan sudah tentu Lufthansa untuk memberi maklumat mengenai (pembantu) juruterbang ini," kata Valls. - AFP

Artikel Lain