suria

Unicef Bimbang Keganasan Ke Atas Kanak-Kanak Di Selatan Thailand

BANGKOK: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Rabu melahirkan kebimbangan mengenai keganasan berterusan ke atas kanak-kanak di kawasan bergolak di selatan Thailand, termasuk pembunuhan tiga budak lelaki di Narathiwat Isnin malam.

"UNICEF mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas kanak-kanak yang tidak bersalah," kata Bijaya Rajbhandari, Wakil UNICEF di Thailand dalam kenyataan dikeluarkan di sini hari ini.

"Kami amat bimbang dengan keganasan berterusan ke atas kanak-kanak di selatan Thailand. Ini perlu dihentikan. Kami menggesa semua pihak terbabit untuk melakukan apa sahaja demi memastikan semua kanak-kanak tidak menjadi mangsa keganasan," katanya.

Menurut laporan media Thailand, budak lelaki berumur tiga, lima dan sembilan tahun ditembak mati di depan rumah mereka oleh sekumpulan lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah mereka sekeluarga ketika mereka dalam perjalanan pulang daripada bersolat di masjid kampung itu.

Bapa dan ibu mereka yang sedang mengandung turut cedera. Pihak berkuasa tempatan sedang menyiasat sama ada insiden itu ada kaitan dengan konflik di kawasan berkenaan.

UNICEF berkata menurut Deep South Watch, 62 kanak-kanak di bawah 15 tahun telah terbunuh dan 387 lagi cedera sejak konflik semasa itu bermula Januari 2004. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain