suria

Bilangan Pelanggan Telefon Di India Turun 20 Juta Pada Julai

NEW DELHI: Bilangan pelanggan telefon di India turun buat pertama kami sebanyak 20.71 juta kepada 944.81 juta pada akhir Julai 2012, daripada 965.52 juta pada akhir Jun 2012, yang membawa kepada pertumbuhan negatif 2.14 peratus.

Bahagian pelanggan bandar turun kepada 63.83 peratus daripada 64.40 peratus manakala bahagian pelanggan luar bandar meningkat kepada 36.17 peratus pada Julai 2012, demikian menurut satu kenyataan daripada Telecom Regulatory Authority of India (TRAI).

Bagaimanapun, sebahagian besar penurunan pada Julai itu adalah disebabkan kemerosotan bilangan pelanggan wayarles yang jatuh kepada 913.49 juta pada akhir Julai 2012 daripada 934.09 juta pada bulan sebelumnya.

Penurunan itu berpunca daripada pemotongan besar-besaran oleh beberapa penyedia perkhidmatan, kata TRAI.

"Bahagian pelanggan wayarles bandar susut kepada 63.37 peratus daripada 63.98 peratus manakala bahagian pelanggan wayarles luar bandar meningkat kepada 36.63 peratus daripada 36.02 peratus," kata badan itu.

Langganan jalur lebar menyaksikan peningkatan kecil kepada 14.68 juta pada Julai 2012 daripada 14.50 juta pada Jun 2012.

Justeru itu, keseluruhan kepadatan telefon di India berkurangan kepada 77.79 pada akhir Julai 2012, daripada 79.58 pada bulan sebelumnya.

Rangkaian telekomunikasi India merupakan yang ketiga terbesar di dunia dari segi bilangan pelanggannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain